Saturday 29 September 2012

Diari 2



Jadual saya pada hari ini agak padat. Kelas saya bermula seawal 10.00 pagi dan berakhir pada pukul 7.00 petang. Puan Marlini binti Idris merupakan seorang pensyarah bagi kursus Seni Mengarang pada semester ini. Beliau sering kali menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu baku perlulah digunakan oleh setiap individu terutama mahasiswa mahasiswi yang mengambil kursus pengajian bahasa Melayu. Tambahan itu, beliau menegaskan bahawa perjuangan bahasa Melayu perlulah tinggi supaya bahasa Melayu ini tidak diabaikan.
Semasa dalam kelas, dua orang rakan saya dari Terengganu telah bersembang. Dengan tidak sengaja, mereka bercakap dengan menggunakan dialek negeri Terengganu. Contohnya ialah “mu jangang wak nawok kat aku” yang bermaksud awak jangan menipu saya. Selain itu, saya juga terdengar mereka bercakap seperti ini “aku dok tahu starang baroh” yang bermaksud saya tidak tahu langsung.
Pensyarah terdengar perbualan mereka tersebut dan menegur perbuatan tersebut.  Beliau menyuruh mereka bercakap dalam bahasa Melayu tinggi dan tidak menggunakan dialek semasa di dalam kelas.
Dialek merupakan variasi bahasa. Antara satu dialek dengan dialek yang lain dalam sesuatu bahasa terdapat perbezaan-perbezaannya. Dialek berbeza mengikut negeri masing-masing. Terdapat tiga jenis dialek iaitu, dialek sosial, dialek daerah dan dialek seketika. Penggunaan dialek akan mempengaruhi kurangnya penggunaan bahasa Melayu tinggi. Oleh itu, marilah bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu.

Diari 1


Pada hari ini, kolej kediaman saya iaitu Kolej Za’ba mengadakan Karnival Keindahan Islam selama empat hari. Saya dan tiga orang rakan perlu bertugas sebagai pengiring kepada tetamu yang dijemput hadir. Semasa saya bertugas saya telah mendengar perbualan antara dua orang rakan. Mereka berasal daripada Sabah. Saya tertarik dengan perbualan tersebut kerana salah seorang daripada mereka ada menyebut perkataan ‘indak’. Saya tidak memahami perkataan tersebut.
Setelah berjumpa dengan seorang rakan saya yang juga berasal dari Sabah, saya menanyakan maksud perkataan ‘indak itu’. Rakan saya tersenyum dengan persoalan saya dan menjelaskan bahawa perkataan itu membawa maksud seorang perempuan.
Kepelbagaian bahasa dan dialek mengikut kaum dan etnik telah menyukarkan kita untuk memahami sesuatu perkataan tersebut. Hal ini demikian kerana tidak semua manusia mengetahui dan memahami bahasa dan dialek yang berbeza dengan mereka. Setiap bahasa dan dialek tersebut adalah  bergantung kepada setiap negeri yang didiami dan etnik-etnik yang berbeza.
Oleh itu, seharusnya dua orang rakan tadi perlulah bertutur atau bercakap dengan menggunakan bahasa melayu tinggi dan memperjuangkan martabat bahasa Melayu itu sendiri. 

Thursday 27 September 2012

Apa yang penting? Kerjasama

Kerjasama itu sangat penting dalam semua aspek dalam kehidupan ini.
Saya mempunyai seorang rakan sekelas yang turut bekerjasama dalam menyiapkan tugasan ini. Terima kasih sahabat kerana banyak membantu dan bersama-sama mencari dan memperbaiki dalam tugasan ini. 

Perkenalan kepada blog

Saya masih baharu dalam dunia blog ini. Pertama sekali saya ingin bersyukur kehadrat Ilahi kerana telah memberi kesempatan waktu untuk membina blog ini. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pensyarah kursus ini, Puan Siti Saniah binti Abu Bakar dan rakan-rakan sekelas yang telah banyak membantu dalam membina blog saya ini. Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada rakan saya, Nurul Filzah Aiffah binti Mohamad Nor kerana turut membantu dan memberi kata-kata semangat untuk saya menyiapkan tugasan ini. 
Persahabatan yang kekal. Insyallah