Saturday 3 November 2012

Diari 25 : Bahasa Pasar

Sebelum pulang ke Tanjung Malim, saya telah menemani ibu saya ke kedai runcit untuk membeli barang dapur dan sedikit ikan dan sayur. Pemilik kedai runcit itu ialah Pak Cik Lim. Dia telah membuka kedai itu sudah lama, hampir-hampir lapan tahun dan perniagaannya semakin berkembang kerana sikapnya yang ramah dan bertolak ansur. Setelah kami masuk ke dalam kedainya, Pak Cik Lim menegur kami dan memberitahu ikan kembung dan sayur-sayur masih segar kerana barau saja sampai.


Pak Cik Lim: Ikan kembung tu baru saja sampai. Ada olang baru hantar. Angkat la banyak. Boleh lu buat laksa. Murah-murah saja itu ikan.
Ibu: Berapa harga sekilo ikan kembung ni?
Pak Cik Lim: Satu kilo rm4 saja.. Lu mau berapa kilo?
Ibu: Bagi dua kilo saja la.
Pak Cik Lim: Lu tak da dengar berita kemalangan ka tadi? Dalam pukul 8.00 pagi tadi. Halim yang tinggal belakang rumah gua yang kemalangan tu.
Ibu: Saya ada dengar jugak tadi. Tapi saya tak tahu la siapa yang kemalangan tu.
Pak Cik Lim: Banyak terok la halim tu. Diapunya otak bersepah sepah atas jalan. Olang cakap besi tertusuk dia punya kepala. Dia mati dekat situ juga tadi.

           Saya mendapati Pak Cik Lim menggunakan bahasa pasar ketika berbual dengan ibu saya. Hal ini demikian kerana Pak Cik Lim menggunakan bahasa Melayu tetapi dia pelat untuk bercakap dengan fasih. Bahasa pasar adalah bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu seperti Cina dan India. Bahasa pasar ini selalunya digunakan oleh masyarkat cina dan India ketika bercakap sesama mereka atau masyarakat Melayu. Bahasa ini dianggap sebagai variasi bahasa Melayu kerana tetap menggunakan bahasa Melayu semasa berbual.

            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bahasa pasar ialah bahasa Melayu yang digunakan oleh orang bukan Melayu yang tidak menguasainya atau seperti yang dituturkan oleh orang Melayu apabila bertutur dengan orang bukan Melayu yang diketahuinya tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu yang betul.







Diari 24 : Mi dan kuetiau





Hujan lebat yang turun pada petang ini telah menghalang saya sekeluarga untuk pulang ke rumah dari pekan lebih awal. Oleh itu, kami terlebih dahulu pergi menjamu selera di Medan Selera Jitra yang mempunyai beberapa buah kedai makanan. Kedai-kedai tersebut  menjual pelbagai jenis makanan seperti nasi berlauk, nasi kukus dan juga masakan panas. Kami telah memilih sebuah kedai ini untuk menjamu selera. Setelah memesan makanan, kami berbual-bual dan saya terpandang papan tanda kedai tersebut. Papan tanda itu mempunyai kesalahan ejaan bagi perkataan mee dan kueh tiaw. Kita sering kali menggunakan perkataan mee untuk menulis tetapi ejaan mee itu adalah salah dan perlu digantikan dengan perkataan mi. Manakala bagi perkataan kueh tiaw pula, ejaan yang betul ialah kuetiau. Saya telah mengambil gambar papan tanda itu, iaitu seperti di atas. Pemilik kedai makan itu perlulah lebih berhati-hati supayaa dapat mengelakkan kesalahan ejaan seperti di atas. 

Diari 23 : Iklan


Adakah ejaan di atas adalah betul? Ejaan pusat bandaraya itu tidak betul kerana sepatutnya perkataan bandaraya ditulis bandar raya. Perkataan bandar raya itu perlu dijauhkan bukannya dirapatkan. Perkataan bandar raya dieja sebagai dua perkataan. Perkataan ini merupakan kata majmuk yang berbentuk rangkai kata umum. Bandar raya bermaksud bandar yang besar dan mempunyai penduduk seramai sejuta orang atau pon lebih.





Petang tadi saya keluar bersama-sama Lina untuk ke kedai di Pekan Jitra. Semasa berjalan-jalan di sana, saya terjumpa sebuah klinik dan saya terpaku dan kehairanan melihat papan tanda di klinik itu. Hal ini demikian kerana papan itu tertulis Kelinik Leong, bukannya Klinik Leong. Saya pon tertanya-tanya kenapa masih ada papan tanda yang menggunakan ejaan yang salah. Namun selepas berfikir sejenak, saya membuat rumusan sendiri dengan beranggapan pemilik klinik itu bukan orang Melayu dan mereka masih ingat ejaan tersebut lebih baku. Jika diteliti dari aspek hukum D-M, papan tanda tersebut sudah betul tetapi kesalahan ejaan mungkin tidak patut berlaku. Oleh itu, semua masyarakat perlulah lebih peka dan menitikberatkan tentang kesalahan ejaan supaya tidak berulang lagi kesalahan yang dibuat. 



Friday 2 November 2012

Diari 22 : Lu, gua dan cikaro


Petang ini saya telah membawa rakan saya, iaitu Lina ke panggung wayang kerana berasa bosan berada di rumah. Kami memilih filem Apa Celop Toqqq sebagai filem untuk kami tontonkan kerana beranggapan filem ini seronok dan pelakonnya yang begitu hebat. Tiket yang dibeli untuk menonton filem itu tadi adalah pada pukul 5.10 petang. 

           Semasa menonton, terdapat ramai orang yang katawa dengan jalan cerita ini yang lucu dan berkomedi ini. Cerita ini mendapat sambutan kerana saya melihat kerusi dipenuhi oleh orang ramai dan hanya terdapat beberapa kerusi sahaja yang kosong. Selain itu, jalan cerita amat menghiburkan dan para penonton tidak berasa jemu dan tetap berada di kerusi masing-masing sehingga tamat ceritanya, iaitu kira-kira 1 jam 30 minit. 
          
           Saya mendapati bahasa yang digunakan dalam cerita ini ialah bahasa slanga kerana  mereka bercakap dengan menggunakan kata ganti nama seperti  lu dan gua. Selain itu, perkataan-perkataan lain yang diucapkan ialah cikaro yang bermaksud gadis. Terdapat banyak lagi bahasa slanga yang digunakan dalam filem Apa Celop Toqqq ini. 

          Secara umumnya, slanga menurut Kamus Dewan ialah kata-kata, ungkapan dan seumpamnya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi. slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard dan selalu berubah-ubah mengikut peredaran masa. Jenis bahasa ini sering digunakan oleh golongan remaja untuk berkomunikasi atau bertutur sesama mereka dan kadang-kadang hanya mereka yang memahami perkataan-perkataan tersebut. 

Diari 21 : Biskut atau roti



Sekarang adalah cuti pertengahan semester bagi mahasiswa-mahasiswi di UPSI. Cuti ini juga adalah serentak dengan Hari Raya Aidiladha yang disambut oleh umat Islam di seluruh negara. Saya mengajak rakan saya yang berasal daripada Sabah untuk mengikuti saya pulang ke kampung halaman dan dia bersetuju untuk mengikuti saya.
           
           Minum petang pada hari ini hanyalah air teh dan biskut. Saya mempelawa rakan saya untuk makan bersama-sama. Di meja makan, saya menyuruh rakan saya untuk makan roti. Dia kehairanan dan bertanya saya pula di mana roti yang saya maksudkan lalu saya tunjukkan kepadanya biskut di dalam piring.  Dia mentertawakan saya dan berkata itu biskut bukan roti. Saya terdiam atas kesilapan saya sebentar tadi dan hanya tersenyum mengakui kesilapan yang saya lakukan.
           
           Bagi saya, biskut dan roti digolongkan dalam satu jenis dan menamakan kedua-duanya itu sebagai roti. Tetapi bagi masyarakat luar sama ada daerah atau negeri yang berbeza mengkategorikan biskut sebagai biskut dan roti sebagai roti. Perbezaan pandangan itu telah membuatkan sesuatu masyarakat menimba pengalaman baru terhadap suatu masyarakat yang mereka duduki walaupun hanya sekejap. 

Monday 29 October 2012

Diari 20: Iklan barangan kosmetik

Setelah menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah, saya melayari internet dan membuka laman sosial facebook. Leka dengan membaca catatan yang ditulis oleh rakan-rakan saya di laman sosial facebook mereka, saya terlihat satu iklan barangan kosmetik. Iklan tersebut adalah seperti di atas. Saya telah mengambil gambar iklan tersebut untuk dijadikan bukti kesalahan bahasa yang dilakukan.
         
             Iklan tersebut adalah mengenai jualan barangan kosmetik. Iklan ini menggunakan pencampuran kod, iaitu bahasa kedua telah digunakan dalam penggunaan bahasa pertama, iaitu bahasa Melayu. Bahasa Inggeris yang digunakan ialah must have sepatutnya ditukarkan dalam bahasa Melayu, iaitu perlu dapatkan. Pencampuran kod ini sepatutnya tidak digunakan kerana semua orang boleh memahami perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. Tidak semestinya perkataan tersebut perlu ditulis dalam bahasa Inggeris, barulah orang lain akan faham. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana akan mencemarkan penggunaan bahasa Melayu itu sendiri. Oleh itu, iklan yang disiarkan perlulah diperiksa terlebih dahulu supaya dapat mengekalkan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan tidak mengandungi bahasa kedua dalam sesuatu iklan yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Tuesday 23 October 2012

Diari 19: Nasi Tupe

Apakah itu nasi tupe atau nasi tumpang? Hari ini merupakan kali pertama saya mendengar gelaran itu dan sebelum ini saya tidak pernah melihat dan merasai keenakan makanan tradisional ini. Nasi tupe atau nasi tumpang ini merupakan makanan tradisional dari negeri Kelantan yang berlapis-lapis dengan pelbagai jenis lauk, iaitu sambal ikan, gulai udang dan sebagainya. Saya mendapat tahu mengenai makanan ini semasa dalam kelas Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar, kumpulan pembentang hari ini telah memperkenalkan tentang makanan tradisional ini. Pensyarah kursus ini, iaitu Dr. Ramlah bin Jantan mengarahkan kami membuat tugasan mengenai tajuk yang kami pilih dan setelah itu memilih salah satu  makanan tradisional dan menerangkan serba sedikit tentang makanan tradisional itu. Saya merasakan bahawa idea ini amat bernas kerana dapat membantu masyarakat yang berada di negeri lain juga tahu mengenai makanan tradisonal sesuatu negeri itu, bukan hanya tertumpu kepada sesebuah negeri sahaja.

            Oleh itu, kumpulan ketiga ini membentangkan tentang cara menyediakan nasi tupe. Mereka juga memberitahu bahawa nasi tupe ini juga dipanggil sebagai nasi tumpang oleh sesetengah masyarakat seperti orang yang beasal dari Terengganu. Makanan yang sama tetapi nama gelarannya itu berbeza-beza dari satu masyarakat ke satu masyarakat. Mereka juga memberitahu makanan ini sudah tidak diketahui oleh masyarakat sekarang di Kelantan. Saya rasa tidak wajar makanan tradisional ini lupus begitu sahaja dek zaman yang semakin membangun ini kerana makanan ini perlu berterusan supaya akan tetap menjadi keunggulan dan berterusan sampai generasi-generasi yang seterusnya.

              Setelah balik dari kelas, saya menanyakan kepada kawan serumah sama ada dia mengetahui tentang nasi tupe ini. Dia memberitahu saya dia tidak tahu makanan tersebut padahal dia merupakan orang yang berasal dari Kelantan. Ini dapat membuktikan bahawa nasi tupe ini sudah semakin dilupai dan generasi-generasi baru sudah tidak mengetahui tentang keenakannya makanan tradisional ii, iaitu nasi tupe. Pada suatu hari nanti, saya mahu pergi ke Kelantan dan merasai akan keenakkan nasi tupe yang berlapis-lapis dengan pelbagai jenis lauk ini.







Diari 18 : Rungutan

Minggu ini merupakan minggu terakhir sebelum mahasiswa-mahasiswi balik ke kampung masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidiladha. Hari ini saya berasa sangat letih kerana semalam saya tidak dapat melelapkan mata untuk menyiapkan beberapa tugasan yang perlu dihantar pada hari ini. Hari ini pula kelas saya agak padat kerana bermula dari pagi sampai ke petang.

           Setelah kelas pertama selesai, iaitu kursus Seni Mengarang selesai, saya keluar untuk makan terlebih dahulu sebelum bergerak ke kampus Sultan Azlan Syah kerana ada kelas Perkembangan Pelajar pada pukul 3.00 petang. Setelah makan, kami menunggu bas ke kampus itu. Tetapi bas itu belum ada sehingga terpaksa menunggu lebih daripada satu jam di situ. Kemungkinan bas yang disediakan pada hari ini hanya sebuah sahaja.

           Saya mendengar ramai yang menyungut kerana ketiadaan bas ini dan menyalahkan pemandu bas.  Hal ini demikian kerana mereka sudah lewat untuk ke kelas. Tindakan ini saya anggap sebagai tidak wajar dilakukan dan diperkatakan. Mereka tidak memikirkan pemandu bas yang hanya keseorangan berkerja untuk menghantar mahasiswa-mahasiswi ke kelas dan memerlukan masa untuknya rehat dan minum seketika. Mereka tidak mempunyai kesopanan semasa berbahasa kerana tidak memikirkan terlebih dahulu perasaan seorang pak cik, iaitu pemandu bas penat untuk berulang alik menghantar kami ke kelas dan berasa sedih apabila mendengar rungutan oleh mahasiswa-mahasiswi itu tadi. Mereka perlu mempunyai sikap berperikemanusiaan dan bertolak ansur kepada orang lain terutama orang yang lebih berusia.

Wednesday 17 October 2012

Diari 17 : Rujukan kehormat

Cuaca pada pagi ini sangat baik setelah semalam hujan turun dengan sangat lebat. Keadaan di Tanjong Malim pada minggu ini tidak begitu baik kerana kerap kali hujan pada sebelah petang dan malam, tetapi pada waktu pagi panas yang terik sehingga tidak menyangka hujan akan turut.

           Pada pagi ini, saya ada kelas Fonetik dan Fonologi bahasa Melayu. Semasa di dalam kelas, pensyarah ada menceritakan serba sedikit tentang persidangan yang telah diadakan pada beberapa hari yang lepas. Beliau telah menanyakan kepada mahasiswa-mahasiwi nama kepada menteri besar yang tidak dapat hadir di persidangan itu kerana mempunyai urusan lain. Dengan pantas, kami menjawab Zambry tanpa memberikan rujukan kehormat kepadanya. Lastas, pensyarah pun menegur dan memberitahu bahawa kami sepatutnya memberi rujukan kehormat kepada beliau. Hal ini demikian kerana perkara ini merupakan kesopanan berbahasa, iaitu memberi hormat kepada sesiapa yang berjawatan lebih tinggi dan yang mempunyai gelaran tertentu. Terdapat susunan kata-kata sapaan yang dimulai dengan rujukan kehormat kepada gelaran yang disandang dan nama peribadi yang disapa.

Tuesday 16 October 2012

Diari 16 : Status di "facebook"

 Masa yang ada pada hari ini, saya isi dengan melayari internet dan membuka laman sosial facebook. Terdapat pelbagai informas yang saya dapat dalam laman sosial ini. Contohnya, saya dapat mengetahui apa-apa yang berlaku di negeri saya, iaitu Kedah tanpa perlu untuk membaca surat khabar dan menonton televisyen. Sedang saya leka membaca status atau catatan yang ditulis oleh rakan saya dalam laman sosial ini, saya terbaca satu status yang menarik perhatian saya. saya telah mengambil sebagai contoh kesalahan penggunaan bahasa Melayu. status tersebut adalah seperti di atas. Kesalahannya ialah penggunaan dialek yang akan menyukarkan orang yang bukan menggunakan dialek yang sama dengannya untuk memahami ayat tersebut.

         Jom kte bderak rayo ni. Kte tgl la hk mano xleh g 2 dh ssh sgt gak.Leh dop nk tgl mu nie. 

          Ayat di atas bermaksud pebulis sedang mengajak rakan-rakannya untuk keluar pada hari raya nanti. Penulis juga memberitahu esiapa yang tidak boleh ikut, mereka akan tinggalkan orang itu. Seterusnya, penulis menanyakan kepada rakannya itu sama ada boleh ke tidak untuk meninggalkannya jika dia tidak dapat keluar bersama-sama mereka yang lain.

         Penggunaan dialek ini akan menyukarkan orang lain untuk memahami bahasa yang tersirat di sebalik perkataan dan ayat tersebut. Hal ini demikian kerana sesuatu perkataan itu tidak akan membawa maksud yang sama dalam pertuturan sesebuah negeri.

Diari 15 : Bahasa badan

Apakah itu komunikasi? Komunikasi ialah perkara yang mesti dan selalu kita buat. Komunikasi dapat dikatakan sebagai perhubungan seseorang yang bertutur dengan orang lain sama ada komunikasi secara sehala dan komunikasi secara dua hala. Bahasa badan pula ialah perlakuan sesorang yang dapat dilihat melalui pergerakan tubuh badan tanpa perlu bercakap.
    
                Saya dapat melihat penggunaan bahasa badan ini ketika pensyarah memberitahu kepada mahasiswa-mahasiswi bahawa kelasnya akan dibatalkan. Mereka akan senyum dan menyoal kepada penyarah kenapa kelas dibatalkan seolah-olah tidak suka akan tindakan pensyarah tersebut untuk membatalkan kelas. Selain itu, tindakan mereka juga dapat melihat dengan gaya tubuh badan setelah mendapat tahu kelas akan dibatalkan. Mereka akan berasa gembira tetapi berpura-pura seolah-olah tidak suka. Bahasa badan yang digunakan oleh para pelajar ini merupakan bahasa badan yang tidak serentak dengan percakapan mereka.

Monday 15 October 2012

Diari 14 : "bolok"

Seorang rakan rumah perlu hadirkan diri ke sebuah majlis yang diadakan bersama dekan fakultinya. Tetapi, pemakaian yang dipakainya tersebut tidak sesuai kerana dia hanya memakai baju t-shirt dan seluar jeans yang dianggap pakaian tidak formal. Oleh itu, seorang rakan saya telah menegurnya.
                    
                    Sue : Bolok mu nie.
                    Lina : Kenapa? Bolok itu apa?
                    Sue : Mu nak pergi majlis bersama dekan, tapi mu pakai mcm ini.
                            Bolok itu selekeh atau tidak sesuai.
                    Lina : Jadi, aku kena tukar pakaian k?
                    Sue : Kau kena pakai pakaian yang lebih formal. 
                    Lina : Aku pakai baju kurung, boleh x?
                    Sue : Boleh. Baju kurung barulah sesuai dengan kau untuk berjumpa
                            dengan dekan.
     
        Bolok membawa maksud selekeh atau tidak sesuai dengan keadaan. Perkataan ini sering kali digunakan apabila seseorang itu memakai pakaian yang tidak sesuai dengan keadaan atau majlis yang dihadirinya. Saya juga baru mengetahui maksud perkataan ini yang berasal dari loghat masyarakat Kelantan. Selain maksud selekeh, kawan saya yang berasal dari Terengganu juga memberitahu bahawa bagi mereka perkataan bolok itu memberi maksud mengarut. Oleh itu, saya dapat lihat di sini bahawa kelainan negeri membawa maksud yang berbeza bagi sesuatu perkataan tersebut. 

Diari 13 : Sampah






Pada malam ini, saya telah menonton klip video dari Mat Luthfi yang bertajuk nama pun sampah. Saya telah memilih untuk menonton klip videonya kerana penggunaan bahasa pertuturannya adalah menggunakan dialek Kedah, iaitu sama dengan saya. Sambil saya menonton klip video ini, saya dapat melihat beberapa penggunaan pencampuran kod. Pencampuran kod ialah bahasa kedua yang digunakan juga dalam struktur bahasa pertama. Contoh pencampuran kod yang digunakan dalam klip video ini ialah "cleaner" yang bermaksud tukang cuci.  

           Selain itu, saya juga dapat mengesan penggunaan kata ganti nama "hang" yang digunakan dalam klip video ini. Kata ganti nama ini adalah dalam dialek pertuturan utara.  " Hang" adalah merujuk kepada kamu, iaitu kata ganti nama diri kedua. Di samping itu, penggunaan kata ganti nama "depa" juga terdapat dalam klip video ini. "Depa" adalah kata ganti nama diri ketiga yang merujuk kepada mereka. Kedua-dua kata ganti nama ini adalah  kata ganti nama yang digunakan dalam dialek utara. 

Diari 12 : Kata panggilan "aku"


Saya dan rakan menaiki bus untuk pulang dari Kampus Sultan Azlan Syah ke kolej setelah tamat kelas pada pukul 5.00 petang. Semasa dalam bus, rakan saya yang berasal dari Sabah mendapat penggilan telefon dari ibunya. Saya yang berada di sebelahnya mendengar perbualan di antara mereka dan saya kehairanan apabila rakan saya tadi membahasakan dirinya sebagai “aku”.

            Setelah tamat perbualan mereka, saya terus menanyakan hal tersebut kepadanya. Dia menjelaskan bahawa kata panggilan “aku” memang digunakan oleh mereka di Sabah untuk membahasakan diri mereka. Saya terperanjat dengan penjelasannya itu. Hal ini demikian kerana bagi saya kata panggilan “aku” itu sangat kasar dan tidak bersopan jika dituturkan kepada orang yang lebih tua terutamanya ibu bapa. Dia memberitahu lagi panggilan itu merupakan normal bagi mereka kerana sejak kecil mereka diajar begitu dan merupakan adat dari turun-temurun lagi.  Saya menjelaskan kefahaman saya kepadanya. Saya memberitahu bahawa kata panggilan “aku” merupakan kata ganti nama diri pertama, iaitu diri kita sendiri. Oleh itu, jika kita bertutur atau berkomunikasi dengan rakan dengan membahasakan “aku” itu dianggap normal dengan peringkat remaja sekarang, tetapi bagi bercakap dengan orang yang lebih tua, itu dianggap sebagai kurang ajar atau tidak bersopan. Kini, barulah saya faham dengan panggilan “aku” di Sabah yang saya anggap kasar tadi. Panggilan itu adalah perkara noramal bagi mereka. 

Diari 11 : "Cokodok" atau "kontok-kontok"


Assalamualaikum dan selamat malam kepada semua rakan...

Hari ini merupakan hari yang sangat letih bagi saya tetapi saya bersyukur kerana saya mendapat banyak maklumat atau info mengenai pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu.  Saya dan rakan-rakan yang mengambil kursus bahasa Melayu telah mengikuti Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu. Persidangan tersebut diadakan selama dua hari di Dewan SITC. Persidangan ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan pendidikan bahasa Melayu dan sebagai sambutan pelancaran bulan bahasa Melayu peringkat negeri Perak 2012.


            Sebelum mendaftarkan diri, saya dan rakan-rakan terlebih dahulu pergi ke gerai untuk membeli kuih-muih sebagai sarapan kepada kami. Setelah itu, barulah kami berjalan ke Dewan SITC dan mendaftar diri dalam persidangan tersebut. Saya menjemput rakan saya untuk makan kuih yang saya beli setelah pembentang pertama habis membentang dan diberi masa 20 minit untuk kudapan.  Saya mempelawa rakan saya untuk makan kuih “cokodok”, tetapi mereka tidak faham dengan perkataan “cokodok” tersebut menanyakan apa yang saya maksudkan itu. Barulah saya sedar saya sedang bercakap dengan rakan yang bukan satu negeri dengan saya. Saya terus tunjukkan “cokodok “ yang saya maksudkan itu, dengan serentak mereka cakap jemput pisang. "Cokodok merupakan singkatan kepada cucur kodok. Saya pun ketawa dengan kekhilafan saya yang bercakap menggunakan dialek negeri saya, iaitu Kedah. Rakan saya yang berasal dari Sabah juga memberitahu kepada kami bahawa masyarakat di sana memanggil kuih itu sebagai “kontok-kontok”, manakala rakan sebilik saya dari Terengganu memanggil kuih itu sebagai jemput pisang. Kepelbagaian rakan yang berasal dari negeri masing-masing telah menyebabkan kita memperoleh banyak bahasa atau dialek pertuturan yang digunakan.                                

Sunday 14 October 2012

Diari 10 : Sambutan Hari Jadi


Pada hari ini, saya dan rakan-rakan serumah telah berbincang untuk mengadakan majlis hari jadi kepada salah seorang rakan kami, iaitu Suhaila. Hari ini merupakan ulang tahun kelahirannya yang ke-21. Oleh itu, kami berpakat untuk membuat kejutan kepadanya dengan mengadakan majlis hari jadi ini. Saya telah membeli sebiji kek dan salah seorang rakan saya telah memasak tomyam.

           Rakan yang ingin kami membuat kejutan tersebut pergi ke kelas malam dan pulang sekitar jam 10.00 malam. Oleh itu, kami menggunakan waktu yang ada untuk menyiapkan persiapan seperti kad ucapan dan makanan. Setelah tibanya Suhaila di rumah, kami memasang lagu Selamat Ulang Tahun Sayang yang dinyayikan ole Imran Ajmain. Suhaila sangat terkejut kerana dia tidak menyangka kami akan melakukan kejutan tersebut  kepadanya. Saya dan rakan sebilik telah menghadiahkan Suhaila sebuah beg tangan berwarna merah jambu. Kami makan bersama-sama dan saya dapat melihat Suhaila sangat seronok kerana kami mengadakan majlis kepadanya.

        Suhaila mengucapkan ribuan terima kasih kepada kami dan memberitahu bahawa dia sangat terharu dan “sekok sebok” di atas ingatan kami kepada hari ulang tahun kelahirannya. Saya tertarik dengan perkataan “sekok sebok” kerana sebelum ini belum pernah lagi mendengar perkataan tersebut. Saya menanyakan maksud perkataan “sekok sebok” itu dan Suhaila menjawab perkataan itu bermaksud perasaan sebak atau terharu sangat. Hari ini merupakan kali pertama saya mendengar perkataan tersebut yang merupakan salah satu perkataan daripada dialek masyarakat Kelantan.  

Sunday 7 October 2012

Diari 9

0


Saya telah menonton video klip daripada Aizat Amdan yang menyanyikan lagu yang bertajuk Jerrypah. Leka saya menonton, saya mendapati terdapat penggunaan pencampuran kod dalam lirik lagu tersebut. Pencampuran kod merupakan pencampuran bahasa kedua dalam struktur bahasa utama, iaitu bahasa Melayu. Pencampuran penggunaan bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu juga dikenali sebagai bahasa rosak. Impak penggunaan pencampuran kod akan mempengaruhi masyarakat yang mendengar dan menonton klip video tersebut. Oleh itu, pencampuran kod atau bahasa rojak ini seharusnya tidak digunakan oleh masyarakat sekarang.

Saturday 6 October 2012

Diari 8

Setelah selesai kelas Briged Bomba dan Penyelamat, saya terlebih dahulu pergi ke pekan untuk menjamu selera di Kentucky Fried Chicken (KFC) bersama seorang rakan. Kami terus balik ke rumah selepas makan. Saya telah membuka laman sosial facebook dan memetik satu catatan yang ditulis oleh rakan saya. Catatan atau status yang ditulis amat menarik kepada saya kerana ayat tersebut mempunyai kata ganti nama berdasarkan dialek utara. Apakah maksud kata ganti nama? Kata ganti nama ialah kata yang menggantikan nama orang, nama tempat,  dan nama benda. Kata ganti nama yang saya jumpa dalam satus rakan saya ialah kata ganti nama 'hang'  yang bermaksud kamu dalam bahasa Melayu standard. Selain itu, terdapat kesalahan   lain yang ditulis oleh rakan saya tadi seperti singkatan perkataan. Penggunaan singkatan perkataan perlulah dielakkan supaya dapat mengekalkan bahasa Melayu yang baku dan dapat menerapkan dalam diri individu supaya lebih peka dalam menulis apa-apa jenis penulisan terutamanya kepada remaja.   .'

Wednesday 3 October 2012

Diari 7

Pada awal pagi tadi, saya membaca surat khabar Utusan Malaysia. Saya tertarik dengan kartun yang dipaparkan di bahagian hadapan surat khabar tersebut. Hal ini demikian kerana saya mendapati ayat yang digunakan mempunyai kesalahan penggunaan imbuhan dalam kata kerja. Saya telah lampirkan lampiran kartun tersebut di atas. Kata dasar dapat perlu menerima imbuhan awalan, iaitu  men- untuk membentuk awalan kata kerja.

                Surat khabar merupakan media yang sangat penting kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat dalam pelbagai aspek. Oleh itu, pihak penerbit dan pengeditan perlulah lebih peka kerana walaupun hanya sedikit kesalahan yang dilakukan tetapi akan menyebabkan impak yang besar kepada pengguasaan bahasa oleh masyarakat. Walaupun hanya pada bahagian kartun tetapi akan meberi kesan kepada pembaca terutamanya kanak-kanak kerana menganggap penggunaan tatabahasa itu tepat.

Tuesday 2 October 2012

Diari 6

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Minggu ini merupakan minggu terakhir untuk mahasiswa mahasiswi untuk menggugurkan kursus yang mereka ambil dalam semester ini. Pada awal pagi tadi, saya dan seorang rakan pergi ke Fakulti Bahasa dan Komunikasi untuk menguruskan gugur salah satu kursus yang kami ambil pada semester ini. Semasa di kaunter pertanyaan, rakan saya telah memanggil staf yang bertugas dengan panggilan kak.

   Rakan : Kak, saya nak ambil borang gugur kursus.

           Kata sapaan yang digunakan oleh rakan saya itu perlu digantikan dengan kata sapaan puan. Hal ini demikian kerana panggilan puan merupakan panggilan yang digunakan oleh penutur pertama terhadap seseorang yang sama status atau orang yang lebih tinggi statusnya, sama ada baharu dikenali atau sudah lama dikenali. Selain itu, panggilan puan juga digunakan kepada wanita yang sudah berkahwin.

Monday 1 October 2012

Diari 5

Semasa saya menunggu bas ke Kolej Za'ba dari Kampus Sultan Azlan Syah, saya melihat gerak-geri empat orang rakan yang sedang duduk di situ. Saya berada bersebelahan dengan mereka di kerusi tersebut dan terdengar seorang rakan mereka sedang mengeluh dan menceritakan kepada rakan-rakannya yang lain.
    
            Semasa rakan tersebut mencerita masalahnya, salah seorang daripada mereka tidak menumpukan perhatian dan dengan sikap acuh tidak acuh melayan rakannya itu. Selain itu, rakan tadi juga kerap kali melihat telefon bimbitnya dan tidak menumpukan perhatian yang serius terhadap permasalah yang diceritakan. Manakala, dua orang yang lain mendengar cerita rakannya itu dan cuba menenangkan supaya lebih kuat menerima dugaan dan sabar dalam menempuh cabaran tersebut. 

            Konklusinya, rakan tadi sepatutnya lebih serius dan mendengar masalah rakannya itu. Hal ini dapat dikaitkan dengan kesantunan berbahasa. Apakah yang dimaksudkan dengan kesantunan berbahasa? Dalam konteks yang lebih luas, kesantunan tidak hanya menumpukan kepada kesantunan berbahasa, tetapi juga merujuk kepada tingkah laku, mimik muka dan nada suara. Kesantunan berbahasa pula ialah penggunaan bahasa yang menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung.

Diari 4

Pada hari ini, saya mendengar perbualan antara seorang rakan yang berbangsa Cina dan seorang rakan berbangsa Melayu semasa di dalam kelas. Perbualan mereka adalah mengenai sikap seorang rakan yang lain yang tidak puas hati dengan mereka. Hal ini demikian kerana pensayarah lebih mengutamakan mereka berbanding seorang rakan yang lain. Saya amat tertarik dengan perbualan mereka kerana salah seorang daripada mereka yang berbangsa Cina itu telah menggunakan bahasa pasar. Antaranya perbualannya ialah:
" Saya mau tanya sama dia la kenapa dia tak suka sama saya. Saya tak ada kacau dia punya hal. Kenapa dia nak kacau saya. Pensyarah suka sama saya sebab saya selalu berjumpa dan minta perjelasan samanya tentang kuliah kita. Lagipun saya selalu siapkan kerja yang dia bagi. Kenapa Ida mahu iri hati sama saya?"

Penggunaan bahasa pasar acap kali digunakan oleh orang bukan Melayu semasa bercakap atau bertutur dengan orang Melayu. Selain itu, bahasa pasar dapat dilihat melalui pelat penyebutan yang dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur. Bahasa pasar juga tidak garamatis dan mengabaikan hukum D-M dan penggunaan penjodoh bilangan. Di samping itu, bahasa pasar juga kerap menggunakan perkataan 'punya'. 

Sunday 30 September 2012

Diari 3


Gambar di atas adalah salah satu contoh kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang saya temui di dalam laman sosial. Penggunaan dialek adalah kerap kali digunakan oleh kebanyakan golongan muda-mudi di laman sosial. Contoh di atas ialah seorang remaja yang menulis pada statusnya dengan menggunakan dialek utara. Penggunaan huruf q ketara dalam dialek utara ini untuk menggantikan huruf r. Selain itu, kita juga dapat lihat bahawa terdapatnya penggunaan singkatan perkataan yang ditulis. Antaranya ialah ‘p’ yang bermaksud pergi  dan ‘x’ yang bermaksud tidak.
            Seharusnya, penggunaan bahasa Melayu standard perlulah digunakan. Oleh itu, semua golongan masyarakat perlulah lebih teliti dan menekankan aspek-aspek bahasa semasa menulis sesuatu artikel atau hanya sekadar menulis status di laman sosial. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu perlu dimartabatkan supaya dipandang tinggi oleh masyarakat yang menggunakan bahasa lain. 

Saturday 29 September 2012

Diari 2



Jadual saya pada hari ini agak padat. Kelas saya bermula seawal 10.00 pagi dan berakhir pada pukul 7.00 petang. Puan Marlini binti Idris merupakan seorang pensyarah bagi kursus Seni Mengarang pada semester ini. Beliau sering kali menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu baku perlulah digunakan oleh setiap individu terutama mahasiswa mahasiswi yang mengambil kursus pengajian bahasa Melayu. Tambahan itu, beliau menegaskan bahawa perjuangan bahasa Melayu perlulah tinggi supaya bahasa Melayu ini tidak diabaikan.
Semasa dalam kelas, dua orang rakan saya dari Terengganu telah bersembang. Dengan tidak sengaja, mereka bercakap dengan menggunakan dialek negeri Terengganu. Contohnya ialah “mu jangang wak nawok kat aku” yang bermaksud awak jangan menipu saya. Selain itu, saya juga terdengar mereka bercakap seperti ini “aku dok tahu starang baroh” yang bermaksud saya tidak tahu langsung.
Pensyarah terdengar perbualan mereka tersebut dan menegur perbuatan tersebut.  Beliau menyuruh mereka bercakap dalam bahasa Melayu tinggi dan tidak menggunakan dialek semasa di dalam kelas.
Dialek merupakan variasi bahasa. Antara satu dialek dengan dialek yang lain dalam sesuatu bahasa terdapat perbezaan-perbezaannya. Dialek berbeza mengikut negeri masing-masing. Terdapat tiga jenis dialek iaitu, dialek sosial, dialek daerah dan dialek seketika. Penggunaan dialek akan mempengaruhi kurangnya penggunaan bahasa Melayu tinggi. Oleh itu, marilah bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu.

Diari 1


Pada hari ini, kolej kediaman saya iaitu Kolej Za’ba mengadakan Karnival Keindahan Islam selama empat hari. Saya dan tiga orang rakan perlu bertugas sebagai pengiring kepada tetamu yang dijemput hadir. Semasa saya bertugas saya telah mendengar perbualan antara dua orang rakan. Mereka berasal daripada Sabah. Saya tertarik dengan perbualan tersebut kerana salah seorang daripada mereka ada menyebut perkataan ‘indak’. Saya tidak memahami perkataan tersebut.
Setelah berjumpa dengan seorang rakan saya yang juga berasal dari Sabah, saya menanyakan maksud perkataan ‘indak itu’. Rakan saya tersenyum dengan persoalan saya dan menjelaskan bahawa perkataan itu membawa maksud seorang perempuan.
Kepelbagaian bahasa dan dialek mengikut kaum dan etnik telah menyukarkan kita untuk memahami sesuatu perkataan tersebut. Hal ini demikian kerana tidak semua manusia mengetahui dan memahami bahasa dan dialek yang berbeza dengan mereka. Setiap bahasa dan dialek tersebut adalah  bergantung kepada setiap negeri yang didiami dan etnik-etnik yang berbeza.
Oleh itu, seharusnya dua orang rakan tadi perlulah bertutur atau bercakap dengan menggunakan bahasa melayu tinggi dan memperjuangkan martabat bahasa Melayu itu sendiri. 

Thursday 27 September 2012

Apa yang penting? Kerjasama

Kerjasama itu sangat penting dalam semua aspek dalam kehidupan ini.
Saya mempunyai seorang rakan sekelas yang turut bekerjasama dalam menyiapkan tugasan ini. Terima kasih sahabat kerana banyak membantu dan bersama-sama mencari dan memperbaiki dalam tugasan ini. 

Perkenalan kepada blog

Saya masih baharu dalam dunia blog ini. Pertama sekali saya ingin bersyukur kehadrat Ilahi kerana telah memberi kesempatan waktu untuk membina blog ini. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pensyarah kursus ini, Puan Siti Saniah binti Abu Bakar dan rakan-rakan sekelas yang telah banyak membantu dalam membina blog saya ini. Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada rakan saya, Nurul Filzah Aiffah binti Mohamad Nor kerana turut membantu dan memberi kata-kata semangat untuk saya menyiapkan tugasan ini. 
Persahabatan yang kekal. Insyallah