Wednesday 17 October 2012

Diari 17 : Rujukan kehormat

Cuaca pada pagi ini sangat baik setelah semalam hujan turun dengan sangat lebat. Keadaan di Tanjong Malim pada minggu ini tidak begitu baik kerana kerap kali hujan pada sebelah petang dan malam, tetapi pada waktu pagi panas yang terik sehingga tidak menyangka hujan akan turut.

           Pada pagi ini, saya ada kelas Fonetik dan Fonologi bahasa Melayu. Semasa di dalam kelas, pensyarah ada menceritakan serba sedikit tentang persidangan yang telah diadakan pada beberapa hari yang lepas. Beliau telah menanyakan kepada mahasiswa-mahasiwi nama kepada menteri besar yang tidak dapat hadir di persidangan itu kerana mempunyai urusan lain. Dengan pantas, kami menjawab Zambry tanpa memberikan rujukan kehormat kepadanya. Lastas, pensyarah pun menegur dan memberitahu bahawa kami sepatutnya memberi rujukan kehormat kepada beliau. Hal ini demikian kerana perkara ini merupakan kesopanan berbahasa, iaitu memberi hormat kepada sesiapa yang berjawatan lebih tinggi dan yang mempunyai gelaran tertentu. Terdapat susunan kata-kata sapaan yang dimulai dengan rujukan kehormat kepada gelaran yang disandang dan nama peribadi yang disapa.

Tuesday 16 October 2012

Diari 16 : Status di "facebook"

 Masa yang ada pada hari ini, saya isi dengan melayari internet dan membuka laman sosial facebook. Terdapat pelbagai informas yang saya dapat dalam laman sosial ini. Contohnya, saya dapat mengetahui apa-apa yang berlaku di negeri saya, iaitu Kedah tanpa perlu untuk membaca surat khabar dan menonton televisyen. Sedang saya leka membaca status atau catatan yang ditulis oleh rakan saya dalam laman sosial ini, saya terbaca satu status yang menarik perhatian saya. saya telah mengambil sebagai contoh kesalahan penggunaan bahasa Melayu. status tersebut adalah seperti di atas. Kesalahannya ialah penggunaan dialek yang akan menyukarkan orang yang bukan menggunakan dialek yang sama dengannya untuk memahami ayat tersebut.

         Jom kte bderak rayo ni. Kte tgl la hk mano xleh g 2 dh ssh sgt gak.Leh dop nk tgl mu nie. 

          Ayat di atas bermaksud pebulis sedang mengajak rakan-rakannya untuk keluar pada hari raya nanti. Penulis juga memberitahu esiapa yang tidak boleh ikut, mereka akan tinggalkan orang itu. Seterusnya, penulis menanyakan kepada rakannya itu sama ada boleh ke tidak untuk meninggalkannya jika dia tidak dapat keluar bersama-sama mereka yang lain.

         Penggunaan dialek ini akan menyukarkan orang lain untuk memahami bahasa yang tersirat di sebalik perkataan dan ayat tersebut. Hal ini demikian kerana sesuatu perkataan itu tidak akan membawa maksud yang sama dalam pertuturan sesebuah negeri.

Diari 15 : Bahasa badan

Apakah itu komunikasi? Komunikasi ialah perkara yang mesti dan selalu kita buat. Komunikasi dapat dikatakan sebagai perhubungan seseorang yang bertutur dengan orang lain sama ada komunikasi secara sehala dan komunikasi secara dua hala. Bahasa badan pula ialah perlakuan sesorang yang dapat dilihat melalui pergerakan tubuh badan tanpa perlu bercakap.
    
                Saya dapat melihat penggunaan bahasa badan ini ketika pensyarah memberitahu kepada mahasiswa-mahasiswi bahawa kelasnya akan dibatalkan. Mereka akan senyum dan menyoal kepada penyarah kenapa kelas dibatalkan seolah-olah tidak suka akan tindakan pensyarah tersebut untuk membatalkan kelas. Selain itu, tindakan mereka juga dapat melihat dengan gaya tubuh badan setelah mendapat tahu kelas akan dibatalkan. Mereka akan berasa gembira tetapi berpura-pura seolah-olah tidak suka. Bahasa badan yang digunakan oleh para pelajar ini merupakan bahasa badan yang tidak serentak dengan percakapan mereka.

Monday 15 October 2012

Diari 14 : "bolok"

Seorang rakan rumah perlu hadirkan diri ke sebuah majlis yang diadakan bersama dekan fakultinya. Tetapi, pemakaian yang dipakainya tersebut tidak sesuai kerana dia hanya memakai baju t-shirt dan seluar jeans yang dianggap pakaian tidak formal. Oleh itu, seorang rakan saya telah menegurnya.
                    
                    Sue : Bolok mu nie.
                    Lina : Kenapa? Bolok itu apa?
                    Sue : Mu nak pergi majlis bersama dekan, tapi mu pakai mcm ini.
                            Bolok itu selekeh atau tidak sesuai.
                    Lina : Jadi, aku kena tukar pakaian k?
                    Sue : Kau kena pakai pakaian yang lebih formal. 
                    Lina : Aku pakai baju kurung, boleh x?
                    Sue : Boleh. Baju kurung barulah sesuai dengan kau untuk berjumpa
                            dengan dekan.
     
        Bolok membawa maksud selekeh atau tidak sesuai dengan keadaan. Perkataan ini sering kali digunakan apabila seseorang itu memakai pakaian yang tidak sesuai dengan keadaan atau majlis yang dihadirinya. Saya juga baru mengetahui maksud perkataan ini yang berasal dari loghat masyarakat Kelantan. Selain maksud selekeh, kawan saya yang berasal dari Terengganu juga memberitahu bahawa bagi mereka perkataan bolok itu memberi maksud mengarut. Oleh itu, saya dapat lihat di sini bahawa kelainan negeri membawa maksud yang berbeza bagi sesuatu perkataan tersebut. 

Diari 13 : Sampah






Pada malam ini, saya telah menonton klip video dari Mat Luthfi yang bertajuk nama pun sampah. Saya telah memilih untuk menonton klip videonya kerana penggunaan bahasa pertuturannya adalah menggunakan dialek Kedah, iaitu sama dengan saya. Sambil saya menonton klip video ini, saya dapat melihat beberapa penggunaan pencampuran kod. Pencampuran kod ialah bahasa kedua yang digunakan juga dalam struktur bahasa pertama. Contoh pencampuran kod yang digunakan dalam klip video ini ialah "cleaner" yang bermaksud tukang cuci.  

           Selain itu, saya juga dapat mengesan penggunaan kata ganti nama "hang" yang digunakan dalam klip video ini. Kata ganti nama ini adalah dalam dialek pertuturan utara.  " Hang" adalah merujuk kepada kamu, iaitu kata ganti nama diri kedua. Di samping itu, penggunaan kata ganti nama "depa" juga terdapat dalam klip video ini. "Depa" adalah kata ganti nama diri ketiga yang merujuk kepada mereka. Kedua-dua kata ganti nama ini adalah  kata ganti nama yang digunakan dalam dialek utara. 

Diari 12 : Kata panggilan "aku"


Saya dan rakan menaiki bus untuk pulang dari Kampus Sultan Azlan Syah ke kolej setelah tamat kelas pada pukul 5.00 petang. Semasa dalam bus, rakan saya yang berasal dari Sabah mendapat penggilan telefon dari ibunya. Saya yang berada di sebelahnya mendengar perbualan di antara mereka dan saya kehairanan apabila rakan saya tadi membahasakan dirinya sebagai “aku”.

            Setelah tamat perbualan mereka, saya terus menanyakan hal tersebut kepadanya. Dia menjelaskan bahawa kata panggilan “aku” memang digunakan oleh mereka di Sabah untuk membahasakan diri mereka. Saya terperanjat dengan penjelasannya itu. Hal ini demikian kerana bagi saya kata panggilan “aku” itu sangat kasar dan tidak bersopan jika dituturkan kepada orang yang lebih tua terutamanya ibu bapa. Dia memberitahu lagi panggilan itu merupakan normal bagi mereka kerana sejak kecil mereka diajar begitu dan merupakan adat dari turun-temurun lagi.  Saya menjelaskan kefahaman saya kepadanya. Saya memberitahu bahawa kata panggilan “aku” merupakan kata ganti nama diri pertama, iaitu diri kita sendiri. Oleh itu, jika kita bertutur atau berkomunikasi dengan rakan dengan membahasakan “aku” itu dianggap normal dengan peringkat remaja sekarang, tetapi bagi bercakap dengan orang yang lebih tua, itu dianggap sebagai kurang ajar atau tidak bersopan. Kini, barulah saya faham dengan panggilan “aku” di Sabah yang saya anggap kasar tadi. Panggilan itu adalah perkara noramal bagi mereka. 

Diari 11 : "Cokodok" atau "kontok-kontok"


Assalamualaikum dan selamat malam kepada semua rakan...

Hari ini merupakan hari yang sangat letih bagi saya tetapi saya bersyukur kerana saya mendapat banyak maklumat atau info mengenai pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu.  Saya dan rakan-rakan yang mengambil kursus bahasa Melayu telah mengikuti Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu. Persidangan tersebut diadakan selama dua hari di Dewan SITC. Persidangan ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan pendidikan bahasa Melayu dan sebagai sambutan pelancaran bulan bahasa Melayu peringkat negeri Perak 2012.


            Sebelum mendaftarkan diri, saya dan rakan-rakan terlebih dahulu pergi ke gerai untuk membeli kuih-muih sebagai sarapan kepada kami. Setelah itu, barulah kami berjalan ke Dewan SITC dan mendaftar diri dalam persidangan tersebut. Saya menjemput rakan saya untuk makan kuih yang saya beli setelah pembentang pertama habis membentang dan diberi masa 20 minit untuk kudapan.  Saya mempelawa rakan saya untuk makan kuih “cokodok”, tetapi mereka tidak faham dengan perkataan “cokodok” tersebut menanyakan apa yang saya maksudkan itu. Barulah saya sedar saya sedang bercakap dengan rakan yang bukan satu negeri dengan saya. Saya terus tunjukkan “cokodok “ yang saya maksudkan itu, dengan serentak mereka cakap jemput pisang. "Cokodok merupakan singkatan kepada cucur kodok. Saya pun ketawa dengan kekhilafan saya yang bercakap menggunakan dialek negeri saya, iaitu Kedah. Rakan saya yang berasal dari Sabah juga memberitahu kepada kami bahawa masyarakat di sana memanggil kuih itu sebagai “kontok-kontok”, manakala rakan sebilik saya dari Terengganu memanggil kuih itu sebagai jemput pisang. Kepelbagaian rakan yang berasal dari negeri masing-masing telah menyebabkan kita memperoleh banyak bahasa atau dialek pertuturan yang digunakan.                                

Sunday 14 October 2012

Diari 10 : Sambutan Hari Jadi


Pada hari ini, saya dan rakan-rakan serumah telah berbincang untuk mengadakan majlis hari jadi kepada salah seorang rakan kami, iaitu Suhaila. Hari ini merupakan ulang tahun kelahirannya yang ke-21. Oleh itu, kami berpakat untuk membuat kejutan kepadanya dengan mengadakan majlis hari jadi ini. Saya telah membeli sebiji kek dan salah seorang rakan saya telah memasak tomyam.

           Rakan yang ingin kami membuat kejutan tersebut pergi ke kelas malam dan pulang sekitar jam 10.00 malam. Oleh itu, kami menggunakan waktu yang ada untuk menyiapkan persiapan seperti kad ucapan dan makanan. Setelah tibanya Suhaila di rumah, kami memasang lagu Selamat Ulang Tahun Sayang yang dinyayikan ole Imran Ajmain. Suhaila sangat terkejut kerana dia tidak menyangka kami akan melakukan kejutan tersebut  kepadanya. Saya dan rakan sebilik telah menghadiahkan Suhaila sebuah beg tangan berwarna merah jambu. Kami makan bersama-sama dan saya dapat melihat Suhaila sangat seronok kerana kami mengadakan majlis kepadanya.

        Suhaila mengucapkan ribuan terima kasih kepada kami dan memberitahu bahawa dia sangat terharu dan “sekok sebok” di atas ingatan kami kepada hari ulang tahun kelahirannya. Saya tertarik dengan perkataan “sekok sebok” kerana sebelum ini belum pernah lagi mendengar perkataan tersebut. Saya menanyakan maksud perkataan “sekok sebok” itu dan Suhaila menjawab perkataan itu bermaksud perasaan sebak atau terharu sangat. Hari ini merupakan kali pertama saya mendengar perkataan tersebut yang merupakan salah satu perkataan daripada dialek masyarakat Kelantan.