Saturday 6 October 2012

Diari 8

Setelah selesai kelas Briged Bomba dan Penyelamat, saya terlebih dahulu pergi ke pekan untuk menjamu selera di Kentucky Fried Chicken (KFC) bersama seorang rakan. Kami terus balik ke rumah selepas makan. Saya telah membuka laman sosial facebook dan memetik satu catatan yang ditulis oleh rakan saya. Catatan atau status yang ditulis amat menarik kepada saya kerana ayat tersebut mempunyai kata ganti nama berdasarkan dialek utara. Apakah maksud kata ganti nama? Kata ganti nama ialah kata yang menggantikan nama orang, nama tempat,  dan nama benda. Kata ganti nama yang saya jumpa dalam satus rakan saya ialah kata ganti nama 'hang'  yang bermaksud kamu dalam bahasa Melayu standard. Selain itu, terdapat kesalahan   lain yang ditulis oleh rakan saya tadi seperti singkatan perkataan. Penggunaan singkatan perkataan perlulah dielakkan supaya dapat mengekalkan bahasa Melayu yang baku dan dapat menerapkan dalam diri individu supaya lebih peka dalam menulis apa-apa jenis penulisan terutamanya kepada remaja.   .'

Wednesday 3 October 2012

Diari 7

Pada awal pagi tadi, saya membaca surat khabar Utusan Malaysia. Saya tertarik dengan kartun yang dipaparkan di bahagian hadapan surat khabar tersebut. Hal ini demikian kerana saya mendapati ayat yang digunakan mempunyai kesalahan penggunaan imbuhan dalam kata kerja. Saya telah lampirkan lampiran kartun tersebut di atas. Kata dasar dapat perlu menerima imbuhan awalan, iaitu  men- untuk membentuk awalan kata kerja.

                Surat khabar merupakan media yang sangat penting kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat dalam pelbagai aspek. Oleh itu, pihak penerbit dan pengeditan perlulah lebih peka kerana walaupun hanya sedikit kesalahan yang dilakukan tetapi akan menyebabkan impak yang besar kepada pengguasaan bahasa oleh masyarakat. Walaupun hanya pada bahagian kartun tetapi akan meberi kesan kepada pembaca terutamanya kanak-kanak kerana menganggap penggunaan tatabahasa itu tepat.

Tuesday 2 October 2012

Diari 6

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Minggu ini merupakan minggu terakhir untuk mahasiswa mahasiswi untuk menggugurkan kursus yang mereka ambil dalam semester ini. Pada awal pagi tadi, saya dan seorang rakan pergi ke Fakulti Bahasa dan Komunikasi untuk menguruskan gugur salah satu kursus yang kami ambil pada semester ini. Semasa di kaunter pertanyaan, rakan saya telah memanggil staf yang bertugas dengan panggilan kak.

   Rakan : Kak, saya nak ambil borang gugur kursus.

           Kata sapaan yang digunakan oleh rakan saya itu perlu digantikan dengan kata sapaan puan. Hal ini demikian kerana panggilan puan merupakan panggilan yang digunakan oleh penutur pertama terhadap seseorang yang sama status atau orang yang lebih tinggi statusnya, sama ada baharu dikenali atau sudah lama dikenali. Selain itu, panggilan puan juga digunakan kepada wanita yang sudah berkahwin.

Monday 1 October 2012

Diari 5

Semasa saya menunggu bas ke Kolej Za'ba dari Kampus Sultan Azlan Syah, saya melihat gerak-geri empat orang rakan yang sedang duduk di situ. Saya berada bersebelahan dengan mereka di kerusi tersebut dan terdengar seorang rakan mereka sedang mengeluh dan menceritakan kepada rakan-rakannya yang lain.
    
            Semasa rakan tersebut mencerita masalahnya, salah seorang daripada mereka tidak menumpukan perhatian dan dengan sikap acuh tidak acuh melayan rakannya itu. Selain itu, rakan tadi juga kerap kali melihat telefon bimbitnya dan tidak menumpukan perhatian yang serius terhadap permasalah yang diceritakan. Manakala, dua orang yang lain mendengar cerita rakannya itu dan cuba menenangkan supaya lebih kuat menerima dugaan dan sabar dalam menempuh cabaran tersebut. 

            Konklusinya, rakan tadi sepatutnya lebih serius dan mendengar masalah rakannya itu. Hal ini dapat dikaitkan dengan kesantunan berbahasa. Apakah yang dimaksudkan dengan kesantunan berbahasa? Dalam konteks yang lebih luas, kesantunan tidak hanya menumpukan kepada kesantunan berbahasa, tetapi juga merujuk kepada tingkah laku, mimik muka dan nada suara. Kesantunan berbahasa pula ialah penggunaan bahasa yang menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung.

Diari 4

Pada hari ini, saya mendengar perbualan antara seorang rakan yang berbangsa Cina dan seorang rakan berbangsa Melayu semasa di dalam kelas. Perbualan mereka adalah mengenai sikap seorang rakan yang lain yang tidak puas hati dengan mereka. Hal ini demikian kerana pensayarah lebih mengutamakan mereka berbanding seorang rakan yang lain. Saya amat tertarik dengan perbualan mereka kerana salah seorang daripada mereka yang berbangsa Cina itu telah menggunakan bahasa pasar. Antaranya perbualannya ialah:
" Saya mau tanya sama dia la kenapa dia tak suka sama saya. Saya tak ada kacau dia punya hal. Kenapa dia nak kacau saya. Pensyarah suka sama saya sebab saya selalu berjumpa dan minta perjelasan samanya tentang kuliah kita. Lagipun saya selalu siapkan kerja yang dia bagi. Kenapa Ida mahu iri hati sama saya?"

Penggunaan bahasa pasar acap kali digunakan oleh orang bukan Melayu semasa bercakap atau bertutur dengan orang Melayu. Selain itu, bahasa pasar dapat dilihat melalui pelat penyebutan yang dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur. Bahasa pasar juga tidak garamatis dan mengabaikan hukum D-M dan penggunaan penjodoh bilangan. Di samping itu, bahasa pasar juga kerap menggunakan perkataan 'punya'. 

Sunday 30 September 2012

Diari 3


Gambar di atas adalah salah satu contoh kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang saya temui di dalam laman sosial. Penggunaan dialek adalah kerap kali digunakan oleh kebanyakan golongan muda-mudi di laman sosial. Contoh di atas ialah seorang remaja yang menulis pada statusnya dengan menggunakan dialek utara. Penggunaan huruf q ketara dalam dialek utara ini untuk menggantikan huruf r. Selain itu, kita juga dapat lihat bahawa terdapatnya penggunaan singkatan perkataan yang ditulis. Antaranya ialah ‘p’ yang bermaksud pergi  dan ‘x’ yang bermaksud tidak.
            Seharusnya, penggunaan bahasa Melayu standard perlulah digunakan. Oleh itu, semua golongan masyarakat perlulah lebih teliti dan menekankan aspek-aspek bahasa semasa menulis sesuatu artikel atau hanya sekadar menulis status di laman sosial. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu perlu dimartabatkan supaya dipandang tinggi oleh masyarakat yang menggunakan bahasa lain.