Tuesday 23 October 2012

Diari 19: Nasi Tupe

Apakah itu nasi tupe atau nasi tumpang? Hari ini merupakan kali pertama saya mendengar gelaran itu dan sebelum ini saya tidak pernah melihat dan merasai keenakan makanan tradisional ini. Nasi tupe atau nasi tumpang ini merupakan makanan tradisional dari negeri Kelantan yang berlapis-lapis dengan pelbagai jenis lauk, iaitu sambal ikan, gulai udang dan sebagainya. Saya mendapat tahu mengenai makanan ini semasa dalam kelas Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar, kumpulan pembentang hari ini telah memperkenalkan tentang makanan tradisional ini. Pensyarah kursus ini, iaitu Dr. Ramlah bin Jantan mengarahkan kami membuat tugasan mengenai tajuk yang kami pilih dan setelah itu memilih salah satu  makanan tradisional dan menerangkan serba sedikit tentang makanan tradisional itu. Saya merasakan bahawa idea ini amat bernas kerana dapat membantu masyarakat yang berada di negeri lain juga tahu mengenai makanan tradisonal sesuatu negeri itu, bukan hanya tertumpu kepada sesebuah negeri sahaja.

            Oleh itu, kumpulan ketiga ini membentangkan tentang cara menyediakan nasi tupe. Mereka juga memberitahu bahawa nasi tupe ini juga dipanggil sebagai nasi tumpang oleh sesetengah masyarakat seperti orang yang beasal dari Terengganu. Makanan yang sama tetapi nama gelarannya itu berbeza-beza dari satu masyarakat ke satu masyarakat. Mereka juga memberitahu makanan ini sudah tidak diketahui oleh masyarakat sekarang di Kelantan. Saya rasa tidak wajar makanan tradisional ini lupus begitu sahaja dek zaman yang semakin membangun ini kerana makanan ini perlu berterusan supaya akan tetap menjadi keunggulan dan berterusan sampai generasi-generasi yang seterusnya.

              Setelah balik dari kelas, saya menanyakan kepada kawan serumah sama ada dia mengetahui tentang nasi tupe ini. Dia memberitahu saya dia tidak tahu makanan tersebut padahal dia merupakan orang yang berasal dari Kelantan. Ini dapat membuktikan bahawa nasi tupe ini sudah semakin dilupai dan generasi-generasi baru sudah tidak mengetahui tentang keenakannya makanan tradisional ii, iaitu nasi tupe. Pada suatu hari nanti, saya mahu pergi ke Kelantan dan merasai akan keenakkan nasi tupe yang berlapis-lapis dengan pelbagai jenis lauk ini.







No comments:

Post a Comment